Silaturrahim bersama Tn Hj Ahmad Azam
- Ditulis oleh: Razlan Abd Razak | 2.00 PM
- Sep 6, 2015
- 1 min read

YAYASAN ADAM (YADAM) mengambil peluang bertemu Tuan Hj Ahmad Azam bin Abd. Rahman yang merupakan Timbalan Setiausaha Agong UNIW merangkap Timbalan Presiden WADAH selepas selesai program Konvensyen Dunia Islam yang diadakan di UMS, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 September 2015.
Pertemuan ini bertujuan menjalin silaturrahim dan mengambil pandangan beliau dalam beberapa isu ummah masa kini. Pihak kami juga tertarik dengan pembentangan beliau bertajuk “Islam dan Masyarakat Majmuk: Cabaran Aktualisasi Rahmat Sejagat” yang dilihat sangat signifikan dengan aspirasi YADAM itu sendiri.
Antaranya beliau mengungkapkan bahawa berdasarkan Piagam Madinah, konsep Ummah bukan sebagaimana yang lazim difahami ramai iaitu hanya merujuk kepada umat Islam tetapi termasuk yang bukan Islam, asalkan kesemuanya terikat di dalam satu perjanjian untuk hidup bersama atas kerelaan dan persetujuan bersama.
Dalam pertemuan singkat tapi penuh bermakna ini, beliau turut memberi panduan dan idea tentang bagaimana untuk Yayasan Adam sendiri bergerak dalam menjayakan misi dan visi yang digariskan. Ternyata beliau memiliki pengalaman yang hebat dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat dalam dan luar negara terutama melalui badan-badan NGO dan jaringan beliau di peringkat antarabangsa.
Comments