top of page

Konvensyen Dunia Islam

  • Ditulis oleh: Razlan | 2.00 PM
  • Sep 6, 2015
  • 2 min read

Konvensyen Dunia Islam dengan tema “Islam Rahmat Sarwa Alam” anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama ABIM Sabah dan beberapa pihak telah dilangsungkan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu pada Sabtu, 5 September.


Konvensyen ini menghadirkan panel yang berkaliber daripada empat buah negara; Malaysia, Indonesia, Filipina dan Kemboja sebagai pembentang.Tuan Hj Ahmad Azam Abd Rahman, Timbalan Setiausaha Agung Union of NGO’s of The Islamic World merangkap Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menjadi pembentang pertama bertajuk 'Islam dan Masyarakat Majmuk : Cabaran Aktualisasi Rahmat Sejagat'. Di dalam kupasannya beliau telah mengungkapkan Islam sebagai agama Rahmatan lil 'Alamin yang melangkaui sempadan negara bangsa, kaum, bahasa, warna kulit dan sebagainya.


Beliau turut menegaskan bahawa konsep 'Ummah' bukan merujuk kepada umat Islam semata-mata tetapi merujuk kepada semua Bani Adam yang mendiami sesebuah negara atau wilayah yang menunjukkan Islam adalah agama rahmat dan universal untuk semua.


Ustaz AbuHurairah AbdulRahman, Mufti Besar Mindanao, Filipina pula membentangkan sejarah kedatangan Islam di selatan Filipina dan perjuangan Bangsamoro di Filipina melalui tajuk pembentangannya 'History of The Moro Struggle in Philipine'. Beliau turut menyentuh tentang usaha yang dibuat oleh Moro Islamic Liberation Front (MILF) yang berpusat di Mindanao dalam menyelesaikan konflik ratusan tahun yang belum selesai sehingga kini.


Wakil dari dari Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia yang merupakan Ketua Biro Pendidikan Tinggi iaitu Dr Imam Zamroji pula membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islam Sebagai Rahmat Bagi Bangsa Indonesia'. Menurut beliau al-Quran melalui kaedah pembelajaran Iqra' adalah kaedah dakwah yang paling mudah, berkesan dan tiada tentangan dan penolakan dari mana-mana pihak berbanding kaedah dakwah yang lain ujar beliau yang merupakan juga Penatar Metode Iqra peringkat Nasional, Indonesia.


Pembentangan terakhir disampaikan oleh Ustaz Mohd Farid Hosen yang merupakan Pengerusi Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA). CMIA dengan sokongan daripada NGO Malaysia, ABIM dan WADAH dalam membawa bantuan kemanusiaan dan pembangunan wilayah minoriti muslim Kemboja. Perancangan pembangunan minoriti Kemboja melalui NGO CMIA ini dilihat sangat memberi impak kepada perubahan taraf hidup rakyat Kemboja.


Konvensyen Dunia Islam bertemakan 'Islam Rahmat Sarwa Alam' ini ditutupkan dengan beberapa deklarasi yang antaranya mencadangkan agar semua pihak memperbanyakkan program-program sinergi harmoni dengan meraikan kepelbagaian yang ada serta mempromosikan Islam Rahmat Sarwa Alam demi memberikan kesejahteraan umat, mengeratkan ukhwah dan persahabatan antara penganut agama serta menolak persepsi negatif terhadap Islam.



 
 
 

Comments


bottom of page