LATAR BELAKANG
Latar Ringkas
ADAM (L) FOUNDATION (YAYASAN ADAM),
No. pendaftaran: LAF00117 telah diluluskan pendaftarannya oleh Labuan Financial Services Authority (LOFSA)pada
22 Ogos 2014 (26 Syawal 1435H) di bawah "Labuan Foundation Act 2010". Beralamat di Level 5 (1), Main Office Tower Financial Park Complex, Jalan Merdeka, 87000 Federal Territory Labuan, MALAYSIA.
Sekilas Penubuhan YADAM
Bermula dari sebuah kepercayaan yang dibina oleh seorang pembimbing, bahawa Tuhan yang menciptakan alam dan manusia sebagai pemimpinnya adalah untuk menzahirkan keindahan sistem pemerintahanNya.
Sekiranya manusia yang menerima amanah itu gagal maka celarulah kehidupan dan musnahlah alam. Maka manusia mesti dipandu sebaiknya dengan manhaj dan kaedah yang benar agar ia membawa kesejahteraan kepada semua Bani Adam. Biarpun ianya suatu impian yang besar dan menuntut perjalanan yang panjang, ianya mesti di mulakan.
Berbekalkan kepercayaan kepada Tuhan, iringan doa restu para pejuang umat terdahulu serta 8 nilai aspirasi yang di terapkan, kami menyusun langkah mencari teman dan taulan, tokoh dan kepimpinan, komuniti dan pertubuhan untuk berkongsi aspirasi dan impian.
Niat menjadi hero atau pujaan dipadamkan, apalagi mengganggu mana-mana struktur pengurusan. Sekadar memberi suntikan semangat “kepercayaan & kasih sayang” pada jiwa dan pandangan nasihat bila di perlukan.
Namun setelah ia berkembang menjengah persada dunia, langkah memerlukan landasan yang rasmi dan sah di sisi undang-undang. Terbitlah YADAM di sebelah Timur membawa impian… Cahaya Kesejahteraan kembali memancar pada manusia dan alam sejagat.
[Secara dasarnya permuafakatan dan kebersamaan dalam mendokong aspirasi (YADAM) telah terlaksana lebih 10 tahun lalu oleh gabungan tenaga dan kepakaran dari pelbagai bidang. Digerakkan melalui pelbagai platform dan pendekatan, di dalam dan di luar negara, meliputi pelbagai aspek sama ada kemanusiaan, pembangunan insan, pendidikan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan sebagainya.
Justeru walau pun ditubuhkan secara rasmi pada 22 Ogos 2014, namun hakikatnya gerak YADAM ini telah berjalan sekian lama - dan sebahagian besarnya merupakan kolaborasi dengan beberapa pihak, bergabung kekuatan dan kebersamaan, dalam mencapai cita membawa kesejahteraan kepada semua Bani Adam.]